Cerekaan

Md. Fariq Khir

Artwork by Elizabeth Gabrielle Lee

1.

Saya tahan teksi. Sudah duduk, saya tanya di mana dia mahu pergi? Selesai menghantarnya, dia membayar tambang dan saya memberi baki.


2.

Sebuah novel menangis membaca dirinya sendiri.


3.

Seekor ikan mati kerana kekeringan idea.


4.

Dua pasangan bercinta tidak jadi berkahwin kerana tiada cincin yang muat pada jari manis mereka.


5.

Sepuluh komando buta dikerah mencari serigala yang telah menelan matahari.


6.

Melihat wajah bapanya, sebayi memasuki semula rahim ibunya.


7.

Sekanibal saintis mengeklon dirinya lalu dimakan klonnya lalu klonnya mengeklon dirinya lalu dimakan klonnya lalu klonnya mengeklon dirinya. . .


8.

Feri dinaiki saya karam. Tiada penumpang yang mampus kerana kapal-kapal kertas yang kami buat ketika kecil datang menyelamatkan kami.


9.

Saya beritahu ibu bapa saya yang mereka ialah ibu bapa angkat. Mereka menangis kenapa tak beritahu awal-awal.


10.

Dalam sesi perkuliahan saya duduk di sebelah selawa gadis. Saya berinya cebisan kertas meminta nombornya. Dia tulis 8173. Kerana kecewa saya gunakan nombor itu di Sports Toto dan menang jackpot.