Tuk Heja bidan latah yang menyambut kedatanganku pagi buta itu. Darah dan lendir berlumuran dan tali pusat berbelit sedikit tapi Tuk Heja cepat mengeratnya dengan sembilu buluh. Bapa telah siap segala-galanya. Demikian ibu bercerita lagi. Dan sewaktu aku menangis dan terajang aku dalam perutnya. Tapi dalam kegelisahan itu bapa gantungkan juga denaknya di cucur atap. Dibiarnya denak Jebatnya bermain angin dan sekali-sekala dalam kegelisahan itu dia memetik jari juga dan Jebat pun melawan juga dengan kuku duanya. Demikian ibu bercerita secara panjang lebar.
Pagi itu juga bapa meniup tetuang tanduk kerbau keweh. Berkumandanglah bunyi tetuang itu bersiponggang ke seluruh kampung kami yang kecil itu memberi isyarat bahawa ada orang baru datang ke kampung kami. Akulah orang baru itu. Tak lama kemudian berduyun-duyunlah orang datang. Pak Lang Mak Lang, Pak Da Mak Da, Pak Ngah Mak Ngah, Pak Cik Mak Cik, Pak Long Mak Long, Pak Ndak Mak Ndak, Pak Enjang Mak Enjang dan Pak Su Mak Su. Mereka datang melihat orang baru. Orang balai bukan orang dapur. Awang bukan mek. Dan pagi Jumaat itu, mengikut cerita ibu, gamat juga rumah kami dibuatnya. Orang bergebang riuh-rendah sambil menelan roti kapai dengan kopi hitam pahit. Kak Esah sibuklah waktu itu memasak kerana tak eloklah kalau tetamu datang tak dijamunya nasi berlauk tamban kering dengan ulam genuak cambah. Kak Esah adalah anak ibu dengan suaminya yang terdulu. Bapa Kak Esah meninggal dunia di Patani kerana dibunuh Siam. Sebabnya aku tak tanya sesiapa. Mungkin kerana kisah mencuri kerbau sebab waktu itu, mengikut cerita ibu, kisah kerbau kena curi melangkah sempadan Siam banyak sangat. Dan waktu ibu jadi janda muda itu, ibu berkahwin dengan bapa, seorang bangsat dari Paya Pasir. Kemudian ibu melahirkan Abang Noh. Kemudian baru melahirkan aku pada pagi Jumaat itu. Abang Noh aku kurang ingat waktu itu dan ibu pun tak cerita apa-apa. Tapi tentulah dia pun masih kecil, belum masuk jawi lagi. Itulah pagi itu aku pun terbit dari perut ibu, disambut oleh Tuk Heja, diazankan oleh bapa dan dicubit-cubit oleh Mak Lang Pak Lang serta mak-mak yang lain yang banyak datang berkerumun di rumah kami itu.
Rumah kami kecil saja. Enam tiang bulatnya yang menongkat ibu rumah. Ditambah dua tiang lagi untuk ampu jemuran. Tangganya cuma dua batang kayu bulat berpangkah saja. Ada tempurung yag rabit bingkainya terletak di kepala tangga untuk orang naik cedok air basuh kaki. Di hadapannya terletak Sungai Ceper yang panjang meliuk itulah. meliuk itulah. Waktu itu airnya cukup jernih. Banyak ikannya. Pangkalan kami di Sungai Ceper itu dibuat oleh bapa dengan jalan menggolek batang merbau yang besar. Aku kurang pasti dari mana bapa mengambil batang merbau itu. Mungkin dihanyutkan oleh air Sunga Ceper waktu bah. Tapi batang merbau itu masih ada sampai sekarang ini pun meskipun sekarang ini pangkalan itu sudah tak ada lagi. Habis dijamah oleh bangkai, plastik masam dan berbagai kotoran yang tak sampai hati pula hendak disenaraikan. Tapi begitulah letaknya rumah kami. Apabila tingkap dibuka bahagian depannya, nampaklah pokok-pokok buluh yang berceretek di tebing Sungai Ceper yang jernih airnya itu, dulunya. Bahagian belakang terbentang bendang yang luas yang menjadi medan seluruh anak buah kampung mencari rezeki. Bendang kepunyaan kami sendiri tak banyak. Cuma lima petak saja meskipun petak-petak itu besar-besar belaka. Tiga petak dalam baruh dan dua petak berdekatan dengan rumah adalah bendang darat. Bendang baruh ertinya bendang yang tanahnya berlumpur, air tak pernah kering dan mudah diusahakan untuk bertanam padi. Boleh guna cangkul, atau terus sisir dengan tarikan kerbau. Tapi bendang darat tanahnya keras terutama musim kemarau. Kami terpaksa tenggala tanah itu.
Tanah-tanah bendang ini sebenarnya bukan kepunyaan bapa. Semuanya adalah kepunyaan ibu daripada pusaka turun-temurun. Ibu berketurunan Siam dengan tuk neneknya seperti Pataeng Sagalas, Sippit dan Kampung Mata Rosa di Patani. Bapa ibu seorang panglima dan sekaligus pendekar handal. Dia ditakuti Siam kerana handalnya bermain senjata terutama candung dan keris. Tapi walau kuat bagaimanapun, akhirnya bapa ibu terkejar juga oleh Siam-Siam yang tak berhati perut itu. Keluarga ibu pun berpindah ke selatan sehingga melangkah sempadan Siam-Kedah. Kemudian meredas hidup di berbagai kampung sehingga akhirnya menetap di Kampung Banggul Derdap ini. Waktu itu Banggul Derdap adalah belantara tempat harimau mengaum. Merbau dan merantinya menjulang langit, tapi akhirnya tanah rimba itu dipugar, diteroka dan dibuatnya kampung. Demikian ibu bercerita.
Bapa sememangnya anak bangsat. Bapa sendiri yang mengakuinya. Dia anak Paya Pasir, Deli, Sumatera, Indonesia. Dia lari dari penjajah Belanda kerana cuba mengumpul puak hendak memberontak menentang penjajah Belanda zaman itu. Lari susup-sasap hingga merampas perahu kecil di Belawan dan terus meranduk Selat Melaka hingga tiba di suatu perkampungan nelayan dekat Pantai Remis, Perak. Di situ dia sembunyi dalam semak selama dua minggu sehingga akhirnya menumpang di rumah seorang perempuan tua yang kebetulan kematian anak lelaki. Dia mencari kayu api di belukar dan menjual kayu itu dengan harga yang cukup murah. Demikian cerita bapa kepada ibu dan cerita ibu kepada aku. Aku tidak pemah mendengar cerita terus daripada bapa kerana takut menentang matanya. Dari Pantai Remis bapa cabut lari ke Kedah kerana dituduh membuat karut dengan seorang janda beranak tiga. Di Kedah bapa tinggal di Sungai Petani kerja menyukat tanah. Dan dalam pekerjaan inilah bapa merantau ke seluruh negeri Kedah, termasuk Teloi Tua, Batu Lima dan seterusnya bertemu dengan ibu yang waktu itu sudah janda. Pertemuan itu agak aneh juga, kata ibu bercerita. Bapa sedang menyukat tanah sedangkan ibu sedang memungut buah berangan kerana waktu itu memang musim berangan luruh. Sudah pun sebakul ibu memungut buah berangan itu, tiba-tiba ternampak dua tiga orang dalam pakaian seragam sedang menyukat tanah. Ibu terkejut lalu lari lintang-pukang meninggalkan bakul berangan. Bapa dan teman-temannya berdekah-dekah ketawa, tetapi petang itu bapa bawa bakul berisi berangan itu ke rumah ibu. Di situlah bapa bertentang mata dengan ibu. Pendekkan cerita, bapa meminang ibu, ibu berkenan dan mereka pun kahwinlah. Bapa berhenti daripada kerja menyukat tanah. Kerana masin mulut orang-orang tua di situ, bapa mendapat kerja sebagai posmen. Daripada perkongsian dua manusia yang sudah mengalami perkahwinan itulah aku dapat melihat wajah alam ini. Sebelum itu ibu sudah mempunyai dua orang anak. Seorang meninggal dan yang ada hanya Kak Esah. Bapa, khabarnya, sudah mempunyai dua orang anak sewaktu berada di Deli tapi sampai sekarang aku tidak tahu siapa mereka.
Illustration by Amir Shahlan Amiruddin
Demikianlah asal usul yang serba sederhana tentang ibu tentang bapa dan tentang keturunan kami dari Siam dan Indonesia. Tapi kisah-kisah ini hanya sebagai kenangan saja bagiku. Sudah begitu lama pergi dan merupakan satu perkara yang sensitif kadang-kadangnya. Dan demikianlah aku membesar dalam suasana kampung yang benar-benar tak ada apa-apa selain kesepian dan kemesraan. Cinta bapa bukan hanya sekadar kepada ibu dan kami dua beradik tapi juga kepada tekukumya. Malah kadang-kadang aku rasa kasih sayang bapa kepada tekukur melebihi segala-galanya. Habis saja kerjanya menghantar surat, bapa merumit denaknya, sangkarnya, raciknya dan asyik memetik jari-jarinya saja untuk mencabar denaknya.Aku masih ingat lagi pada suatu pagi Jumaat, bapa sedang melepaskan denaknya di halaman supaya burung itu berjemur dan bermain angin. Dan denak itu pun mengepakkan kedua-dua belah sayapnya dan mengembangkan ekornya supaya terjamahlah sinar matahari pagi. Tiba-tiba seekor kucing, entah dari mana datangnya, nampak sedang mengendap di balik lesung untuk menangkap denak bapa. Bapa tidak melihat kucing itu kerana bapa asyik merenung telatah denaknya yang hebat yang diberi nama julukan Jebat itu. Kemudian bapa memetik jari-jarinya tapi denak membisu saja; malah mulai memanjangkan lehernya bagaikan ada sesuatu yang ditakutinya. Bapa memetik jarinya lagi tapi Jebat terus membisu juga. Jebat menjengukjenguk sampai paruhnya tersentak-sentak pula. Tiba-tiba bapa ternampak kaki kucing yang sedang mengendap balik lesung. Apalagi, bapa tersentak, menggumpalkan kainnya kuat-kuat, sambar dahan kayu di sebelah dan terus mengejar kucing. Kucing lesap lagi, bapa mengejarnya lintang-pukang hingga tak disedarinya kain yang dipakai terlondeh.Ibu yang duduk atas jemuran mencari kutu di kepalanya keriau kuat-kuat sambil menutup mata bilamana melihat bapa telanjang. Bapa pada mulanya tak sedar juga tapi kemudian baru diketahuinya apabila terasa ganjil lariannya itu. Kelam-kabut pula bapa lari patah balik mencari kainnya yang luruh tadi. Tiba saja di tempat kain jatuh, bapa pandang kiri pandang kanan pandang depan pandang belakang. Dan mujurlah tak ada Mak Lang dan Mak Ngah dan makmak yang lain melintas waktu itu. Kalau tidak, ah, tentu gamat kampung Banggul Derdap dibuatnya!
Kisah tekukur dan ketitir ini memang banyak bilamana menyentuh riwayat hidup bapa. Biarlah aku simpan dulu untuk bercerita lagi apabila tibanya ketika yang sesuai.
Mengapa namaku Shahnon, tak pula aku ketahui. Nama ini tak ada di karnpung kami, tak ada dalam negeri Kedah; malah dalam Semenanjung Tanah Melayu ini pun tak ada, aku rasa. Bapa tak pernah cerita kepada sesiapa. Ibu sementelahlah. Dia tak tahu. Nama itu begitu ganjil sekali sehingga bilamana aku berteman di kampung, namaku diejek-ejek pula. Nama kebanyakan anak buah kampung kami ialah nama nabi-nabi, sahabat-sahabat nabi. Nama begitu berkat, kata mereka. Tetapi mengapa namaku Shahnon, sungguh aku tak tahu. Biarlah aku menderita kerananya itu. Sampai sekarang pun aku rasa aku sajalah yang bernama begitu. Bilamana aku sudah besar panjang dan pandai sedikit sebanyak dalam serba hal, aku cuba lagi mencari rahsia di sebalik nama itu. Aku cuba laga-lagakan nama bapa dengan nama ibu atau nama bapa dengan nama marganya. Bapa bernama Ahmad Hasanuddin dan warganya adalah Saragih, satu keturunan yang bersifat kebatakan juga sedikit sebanyaknya. Dalam erti kata yang lain, aku ini berketurunan Batak juga kalau dikira sebelah bapa, bukanlah Batak perut hijau yang makan apa saja yang ditemuinya. Tidak! Tapi Batak itu Batak juga. Dari marga Saragih dan nama-nama tuk nenek sebelah Saragih ini pun aku cuba cari kalau-kalau ada nama Shahnon atau nama yang hampir-hampir dengan nama Shahnon, tapi tak ada juga. Nama ibu pula Siti Kalthum, satu nama yang cantik, aku rasa, tetapi dalam kampung kami yang bercakap pelat separuh Patani dan separuh Kelantan itu, nama yang begitu cantik bertukar menjadi Keghesong. Cantuman antara Keghesong dengan Ahmad Hasanuddin ini pun tak menerbitkan juga namaku sekarang ini. Tapi biarlah usah bersusah hati dengan nama ini. Apalah adapada nama! Kadang-kadang terasa pula yang lain. Lagi pelik dan ganjil, lagi mudah orang mengingatinya. Dan namaku memang mudah disebut, sukar dilupakan. Hanya dalam kampung kami namaku disebut lain sedikit; sesuai dengan pelat separuh Patani dan separuh Kelantan itu: Sanong. Memang begitulah lagaknya pun. Anak buah kampung kami tak boleh hentikan sebutan pada huruf "n" bilamana kata-kata itu tamat dengan "n". Kalau "hujan" disebutnya "hujang", kalau "Osman" disebutnya "Osmang" dan kalau "makan" disebutnya "makang". Tapi apalah ada pada sebutan dan nama. Maknanya difahami. Dan ini sudah cukup untuk hidup, aku rasa.
Kembali kepada ingatan semasa kecil di kampung ini, banyak yang telah kulupakan. Hanya bilamana duduk-duduk seorang diri dan cuba imbaskan kembali jauh-jauh ke masa silam, barulah timbul beberapa peristiwa yang tak dapat dilupakan meskipun aku tahu, sudah banyak peristiwa yang lesap begitu saja daripada ingatan. Paling yang tak dapat dilupakan ialah hal penyakit yang cepat berjangkit. Entahlah! Aku sendiri adalah tahi penyakit dan penyakit yang paling tak dapat dilupakan ialah bisul. Bisul tumbuh tak habis-habisnya. Kerapnya tumbuh di punggung, atau di paha berdekatan dengan lutut. Apa bila bisul itu pecah dan keluar nanah dan punatnya, tumbuh lagi di tempat lain sehingga punggung aku sewaktu kecil tak pernah renggang daripada bisul. Setiap biji bisul memakan masa hampir sepuluh hari baru masak dan pecah. Bisul itu membesar dan sakitnya bukan main lagi. Kadang-kadang dua tiga naik sekaligus. Kadang-kadang tumbuh di tempat-tempat di luar dugaan: dalam lubang hidung, dalam telinga, di telur kemaluan, di kepala lutut, di dahi dan lebih jauh lagi dalam ketiak kiri kanan. Memang sukar diduga pertumbuhannya. Ibu dan bapa tak ada kerja lain selain memicit bisul-bisulku bilamana bisul-bisul itu sudah masak. Dipicitnya sampai habis nanah keluar dan dituruti dengan korekan sehingga terpancut punatnya. Kata orang, kalau punat keluar, bisul tak naik lagi. Bohong dan karut! Sudah banyak kali benar punat terbit tapi bisul galak juga tumbuh, macam kulat pada musim "hujang".
Kata orang, bisul tumbuh kerana kita bermain kotor, bergelumang dengan kuman yang rajin sembunyi dalam kotoran, dalam air yang kotor, dalam selut, dalam air yang tidak mengalir. Tapi di kampung kami mana ada tempat yang tak kotor. Selut dalam bendang adalah gelanggang kami. Kotoran dalam sungai, dalam caruk, dalam bendang memang ada di situ. Lagipun kecil-kecil kami selalunya berbogel saja. Meranduk sungai atau meranduk bendang yang tergenang air pun dalam keadaan telanjang.
Tapi begitulah keadaannya. Bukan aku saja yang diserang bisul; dikatakan budak-budak lain pun sama juga. Hilang sebiji tumbuh sebiji dan kadang-kadang tiga empat biji sekaligus sehingga menjadi mangli dan perkara biasa, sehingga tak terasa lagi sakitnya. Kalau bisul masak dan kami picit sendiri, kami picit begitu saja tanpa kesakitan lagi kerana sudah menjadi perkara biasa saja dalam kehidupan kami. Kalau lubang bisul itu luas, kami masukkan saja jari kelingking kami untuk mengorek keluar punatnya. Nanah dan darah yang terbit pun kami sapu begitu saja tanpa perasaan majal atau hanyir apa-apa. Begitu keadaannya, begitulah kami hadapinya.
Sekali punggungku ditumbuhi dua biji bisul sekaligus. Dan tempat yang tumbuh ialah kiri kanan lubang duburku. Pada mulanya tidak berapa sakit sangat, tapi apabila sudah membesar keadaan menjadi luar biasa sekali. Aku tak boleh berjalan, tak boleh kentut, tak boleh berak. Apabila kedua-dua bisul itu membesar, lubang dubur diganggunya. Lama aku tidur meniarap dengan perut dilapiki bantal supaya tercunggit sedikit punggungku dan terbukalah sedikit lubang duburnya. Ban yak kawan datang ke rumah tapi tak tergamak aku hendak menyelak kain untuk mereka tonton. Memang tak tergamak pun. Hanya ibu dan bapa dan sekali-sekala aku membenarkan abang Noh melihatnya. Hampir dua minggu aku tersadai atas lantai, merayap dalam rumah, tertiarap macam apa-apa lagi sehingga akhirnya masaklah kedua-duanya dan pecahlah bisul itu. Bapa yang memicitnya dan nanah begitu banyak sekali. Dekatdekat separuh tempurung kelapa kotai. Dan peristiwa aku jadi gelanggang bisul tumbuh ini memang sulit dilupakan. Namun begitu bilamana aku fikir-fikirkan pengalamanku dalam soal bisul ini, kini terasa juga manfaatnya. Pengalaman itu menyebabkan aku tak takut pada nanah, pada darah, pada punat dan pada sebarang yang kotorkotor. Aku tidak pening melihat nanah dan darah; malah aku suka pula bila-bila terjerembab dengan nanah dan darah. Aku kurang tahu sama ada pengalaman seumpama ini bermanfaat benar, tapi begitulah pengalaman ini mengejapkan kehidupanku. Aku tidak pantang melihat orang berdarah dan bernanah; malah lagi banyak lumuran darahnya lagi seronok aku dibuatnya. Waktu orang bersalin dan darah banyak yang tumpah ke tanah melalui lantai, aku boleh turun memungut urinya. Kalau orang sembelih lembu atau kerbau atau rusa, aku suka benar duduk dekat lubang tempat leher digoyok. Aku gemar melihat darah terbit dengan banyak dan aku suka memegang darah beku itu.
Sekarang ini bilamana aku sudah besar, sudah berkahwin dan sudah lama berpengalaman dalam kehidupan, memang soal darah dan nanah ini penting. Bilamana isteriku bersalin, aku boleh duduk berdekatan dengannya, sedia menyambut bayi yang berlumuran darah; malah aku gemar pula diriku dilumuri darah dan nanah itu.
Dalam satu peristiwa yang lain pula, aku masih ingat betul. Pak Ngah Lahuma terkena duri nibung sewaktu sedang membersih sawahnya. Duri itu tak terbit dan ia mewabakkan satu penyakit busung yang maha dahsyat sekali di kampung kami sehingga perut Pak Ngah buncit begitu tinggi, sehingga akhirnya kulit begitu cekang dan nanah-nanah terpercik keluar melalui lubang-lubang bulu roma. Nanah dan darah akhirnya keluar melalui dubur, hidung, lubang telinga dan juga mulut. Dekat-dekat Pak Ngah Lahuma nak mati, aku berada di sisinya, menyapu nanah-nanah yang keluar, darah-darah yang mengalir dengan derasnya Tak ada kain, aku sapukan saja nanah dan darah itu dengan tapak: tanganku sendiri. Orang lain banyak yang duduk jauh-jauh kerana tak tahan dengan busuknya nanah dan darah dan tak tahan melihat Pak Ngah dalam keadaan begitu. Pak Ngah meninggal dunia kerana busungnya inilah. Mayatnya dibungkus dengan kain putih hampir-hampir sepuluh lapis kerana nanah dan darah tak mahu juga berhenti mengalir. Baunya usah dikira lagi; tajam mencucuk lubang hidung, masuk ke dalam mulut dan banyak yang tak ada selera makan untuk beberapa hari. Alhamdulillah! Aku tak ada pantang larang apaapa. Aku suka dengan darah dan nanah. Aku ada selera makan juga. Busuk memanglah busuk tapi aku suka dengan bau busuk yang terbit daripada darah dan nanah itu.
Maafkan aku kerana agak panjang bercerita tentang bisul dan nanah dan darah ini. Mungkin menjemukan, tapi bagiku pengalaman tumbuh bisul di sana sini ini meninggalkan kesan yang tak dapat dilupakan. Paling berkesan sekali ialah aku menjadi rindu kepada darah dan nanah. Aku tak tunggu-tunggu lagi pergi mencari mangsa yang bernanah dan berdarah; tak kira sangat sama ada orang atau binatang. Dan orang dan binatang yang berdarah dan bernanah ini memang banyak dalam dunia ini kerana orang suka membunuh orang lain dan membunuh binatang juga. Kita sebenarnya tak boleh lari dari darah dan nanah.